1.1 Pengenalan
Objektif penulisan kami adalah untuk menghuraikan tentang konsep pengurusan dalam Islam dan proses pengurusan kedai makan. Selain itu, kami akan mendedahkan tips dan strategi dalam pengurusan kedai makan. Di samping itu, kami akan menjelaskan peranan konsep Tauhid dan konsep Al-istikhlaf dalam pengurusan kedai makan.
Konsep pengurusan dalam Islam amat penting untuk difahami dan diaplikasikan oleh setiap pengurus muslim dalam pengurusan kedai makan kerana pengurusannya yang jelas, penyusunan dan perancangan pengurusan yang teratur, pengawasan yang menyeluruh dan terperinci serta yang paling penting mempunyai asas yang kukuh untuk mendapat keredhaan Allah SWT bukannya semata-mata kebendaan dan keduniaan sahaja.
1.2 Isi Kandungan
1.2.1 Pengertian Pengurusan
Di dalam pengurusan Islam, terdapat beberapa sarjana-sarjana Islam telah mengutarakan definisi pengurusan. Di antaranya:
ØAhmad Ibrahim Abu Sin
Pengurusan sebagai satu kajian ilmiah terhadap bakat dan kebolehan serta kemahiran seseorang menjadi pengurus.
ØProfesor Syed Othman Alhabshi
Pengurusan merupakan satu proses mendapat dan mencantumkan sumber-sumber kewangan, modal, tenaga manusia dan sebagainya untuk mencapai matlamat organisasi sama ada dalam bentuk barangan atau perkhidmatan.
ØMuhammad A. Al-Buraey
Pengurusan merupakan penyelarasan tenaga manusia untuk mencapai matlamat kelompok sebagai makhluk sosial yang perlu berinteraksi antara satu sama lain.
1.2.2 Matlamat dan Objektif Pengurusan Islam
Di antara matlamat dan objektif pengurusan Islam adalah:
ØMenjalankan tugas yang telah diamanahkan oleh Allah dengan adil dan memelihara perhubungan yang baik sesama insan.
ØMemakmurkan muka bumi ini dengan cara yang diredhai.
ØMelaksanakan syariah Islam iaitu ibadat, muamalat dan hukum-hukum Islam yang lain.
ØMencari keredhaan Allah walaupun ketika berurusan dalam hal-hal dunia.
ØMemastikan bahawa Islam itu sentiasa lebih tinggi darjatnya daripada hal-hal lain.
1.2.3 Proses Pengurusan Kedai Makan
Pada masa kini, ramai yang berminat untuk membuka kedai makan sendiri kerana melihat potensi pendapatan yang lumayan. Ada yang membuka kedai makan hanya disebabkan oleh pengalaman makan di sebuah kedai makan di luar negara. Ada juga yang berminat disebabkan oleh keyakinan untuk masak masakan yang sedap. Pelbagai alasan dan motif yang boleh didapati untuk tujuan tersebut. Bagi seorang muslim yang sejati, tujuan ataupun niat yang utama hendaklah diperbaiki apabila membuat keputusan untuk memulakan perniagaan kedai makan iaitu adalah kerana Allah SWT. Niat yang salah boleh meruntuhkan iman selain tidak mendapat keredhaan dan rahmat Allah dalam perniagaan yang dijalankan.
Selain itu, Al-Quran secara tegas telah menganjurkan kepada orang-orang beriman agar menceburkan diri dalam perniagaan. Allah SWT menyebutkan dengan jelas:
Terjemahannya: Wahai orang-orang yang beriman! mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; Yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
(Surah Ash Saff (61):10-11)
Keutamaan dalam perniagaan adalah niat untuk mensyukuri nikmat Allah SWT. Allah SWT memberi tuntunan kepada kita dalam memutuskan pilihan terhadap perniagaan yang kita pilih di dunia ini. Dalam firmanNya menyatakan:
Terjemahannya: “Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan haji kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah (menuju ke Muzdalifah maka sebutlah nama Allah dengan doa,"talbiah" dan tasbih di 52 tempat Masy'ar Al-Haraam di Muzdalifah, dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutnya sebagaimana ia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang yang salah jalan ibadatnya”.
(Surah al–Baqarah (2):198)
Di samping itu, ramai berpendapat bahawa memulakan bisnes kedai makan sangat mudah apa tah lagi menjalankannya. Hanya perlu keluar modal, cari tempat, cari pekerja, memasak masakan yang sedap, pelanggan datang dan duit akan masuk kedalam mesin wang.
Anggapan tersebut sebenarnya salah. 25 – 33 peratus keatas kedai makan yang baru dibuka akan gagal kurang dari 12 bulan. Antara punca kegagalan adalah kerana kurang perancangan dan pengetahuan menguruskan sebuah kedai makan dengan betul. Hal ini dapat dielakkan sekiranya konsep pengurusan Islam dikaji dan diamalkan dengan baik.
Membuka sebuah kedai makan yang berjaya memerlukan pengurusan yang rapi, bukan setakat mengeluarkan modal dan mengikut kehendak hati. Apa-apapun jenis perniagaan memerlukan sebuah pengurusan perniagaan, termasuk juga dalam membuka kedai makan.
Di dalam sesebuah rancangan perniagaan untuk membuka sebuah restoran terdapat proses pengurusan yang perlu di teliti sebagai usaha agar kedai makan yang dibuka tidak gagal dalam masa setahun atau kurang sebaliknya akan mencapai kejayaan dunia dan akhirat.
Di dalam sesebuah rancangan perniagaan untuk membuka sebuah restoran terdapat proses pengurusan yang perlu di teliti sebagai usaha agar kedai makan yang dibuka tidak gagal dalam masa setahun atau kurang sebaliknya akan mencapai kejayaan dunia dan akhirat.
Proses pengurusan kedai makan :
1) Ramalan dan Perancangan
Pengurus melihat masa depan dan membuat keputusan berhubung atau berdasarkan tindakan yang diambil.
ØMengetahui Konsep Restoran
Sebelum memulakan renovasi premis, anda seharusnya mempunyai idea atau arah tuju jenis kedai makan yang akan dijadikan teras bisnes anda.
ØModal
Mana-mana perniagaan memerlukan modal permulaan, termasuk juga bisnes kedai makan. Modal yang ada hendaklah di belanjakan berdasarkan satu plan perbelanjaan iaitu untuk membeli peralatan, pengubahsuaian, kos operasi.
ØUbah Suai Premis
Jika anda salah rancang maka pengubahsuaian akan menjadi kekal dan berkemungkinan akan mengganngu proses kelancaran perniagaan anda.
ØPendaftaran perniagaan
Selain pendaftaran syarikat di SSM, anda juga perlu mendapatkan lessen dan permit dari majlis bandaraya atau pembandaran tempatan.
Berikut merupakan carta alir bagi proses permohonan lesen serta-merta yang digunapakai:
Carta Alir Permohonan Lesen Perniagaan Restoran MDKS – Sumber:Panduan Permohonan Lesen Perniagaan Serta-Merta.
Tambahan pemeriksaan keatas borang akan dilakukan oleh penolong pegawai kesihatan persekitaran untuk lesen kedai makan seperti di bawah :
Carta Alir Pemeriksaan Lesen Tambahan Senarai B – Sumber:Panduan Permohonan Lesen Perniagaan Serta-Merta.
ØPemilihan lokasi
Jangan pandang rendah pada pemilihan lokasi kerana lokasilah yang selalunya yang akan menjayakan atau mengagalkan perniagaan anda. Kita perlu memilih lokasi yang berstrategi tinggi seperti di kawasan-kawasan perumahan, kawasan-kawasan kilang dan kawasan dibandar. Ini adalah supaya kedai makan kita ramai dikunjungi pelanggan.
ØSumber bahan mentah
Sebelum hendak membeli bahan mentah, pastikan beli bahan yang perlu berdasarkan menu dan beli bahan mentah terus dari sumber untuk menjimatkan kos. Yang paling penting, sumber bahan mentah tersebut perlulah diperolehi dari sumber yang halal dan segar bagi meningkatkan lagi mutu kedai makan kita dan mendapatkaan keredhaan Allah.
2) Pengelolaan
Pengurus mengumpul kerja-kerja yang berkaitan dalam kelompok tersendiri, kemudian menyusun ahli-ahli dan seterusnya menetapkan tugas ahli-ahli tersebut.
3) Arahan
Pengurus memberi arahan dan panduan untuk memastikan kerja dapat dibuat dengan cekap dan sempurna.
4) Penyelarasan
Pengurus menyatukan segala usaha dan aktiviti yang dikira penting serta memastikan segala aktiviti berjalan sesuai dengan rancangan yang telah ditetapkan.
ØTenaga kerja
Tenaga kerja memainkan peranan utama dalam operasi restoran kerana mereka yang akan menjalankan perniagaan anda. Mereka adalah aset perniagaan dan anda hendaklah memilih , mengambil kakitangan dan mengurus kakitangan dengan baik dan sistematik. Berikut adalah perlatikan yang perlu dibuat sebelum memulakan perniagaan kedai makan:
PERLANTIKAN JAWATAN-JAWATAN PENTADBIRAN DAPUR
A) Perlantikan Ketua Tukang Masak
Ketua tukang masak merupakan seseorang yang bertanggungjawab penuh di dalam dapur termasuk bidang pengurusan dapur. Mereka ini menyelia- selia semua staf-staf dapur, mencipta menu yang sesuai untuk kedai makan melalui berbincang dengan pengurus. Menu yang diciptanya mestilah sentiasa dikaji selidik melalui pengamatan populariti nya,harga yang bersesuaian,keuntungan jualan dan kuantiti yang bersesuaian perlu di ambil kira. Menu hidangan tidak bersesuain mestilah dihindarkan segera.
Perlantikan ketua tukang masak perlu dibuat dengan teliti kerana seluruh bahagian dapur tergantung pada kewibawaannya yang akan dilantik yang digunakan untuk memasak hidangan tersebut. Beliau juga perlu sentiasa cipta-reka resipi baru. Selain dari itu, beliau juga perlu memesan bahan mentah masakan yang perlu, melatih pekerja baru untuk bahagian dapur, sentiasa mengawal-selia kebersihan dan langkah ‘hygine’ dan memastikan keselamatan semasa penyediaan makanan ditempat masak dipatuhi.
B) Penolong Ketua tukang Masak
Membantu ketua tukang masak untuk menjalankan tugas-tugas pentadbiran dan mewakili beliau ketika beliau tidak hadir atau cuti. Menguruskan bahagian –bahagian yang terdapat di dapur seperti bahagian penyedian bahan mentah, peti sejuk, bahagian masak nasi, bahagian goreng dan bahagian penyediaan jamuan. Biasanya mereka akan ditugaskan untuk menjaga semua peralatan dapur dan kebersihan dapur. Penolong Ketua tukang masak juga akan membantu ketua tukang masak untuk memasak dan menyediakan menu.
C) Pencuci Pinggan-Mangkuk / Cleaner.
Mereka ditugaskan untuk mencuci semua peralatan dapur termasuk peralatan hidangan dan lain-lain. Mereka ini juga boleh ditugaskan untuk menyiapkan persedian bahan untuk dimasak. Mereka juga perlu memastikan kedai makan dalam keadaan yang bersih.
PERLANTIKAN PENGURUS KEDAI MAKAN
A) Pengurus Kewangan.
Biasanya pengurus kewangan lebih dikenali sebagai pemilik kedai makan. Beliau perlulah bijak dalam menguruskan kewangan perniagaan kedai makan tersebut. Beliau juga perlu menguruskan modal dan keuntungan kedai makan.
B) Pengurus Pekerja
Pengurus pekerja akan memastikan kebajikan pekerja akan terjaga dan memastikan pekerja melakukan setiap tugasan yang diberikan supaya kedai makan sentiasa terurus dan terpelihara.
PERLANTIKAN PELAYAN PELANGGAN
Untuk mengambil pesanan menu dari pelanggan yang datang ke kedai makan.
ØPerkhidmatan pelanggan
Salah satu faktor kejayaan sebuah kedai makan adalah perkhidmatan pelanggan. Selain kualiti produk dan persekitaran yang bersih, bagaimana anda dan kakitangan melayan pelanggan akan menentukan minat pelanggan untuk datang semula ke restoran anda.
ØSasaran pelanggan
Anda bangunkan sebuah kedai makan melayan anda atau untuk melayan pelanggan? Jika untuk pelanggan, siapakah pelanggan anda? Adakah pekerja dari pejabat berdekatan? Pelajar universiti? Keluarga? Anda harus mengenalpasti siapa pelanggan anda untuk mendapatkan jualan yang maksimum dan mengelakkan pembaziran.
ØHarga tawaran
Harga produk yang terlalu rendah akan menggagalkan perniagaan anda. Harga yang terlampau tinggi juga akan menggagalkan perniagaan anda. Penentuan harga makanan yang sesuai akan memastikan anda berada pada garisan yang betul dimana pelanggan akan berpuas hati dan kos operasi tidak melangkaui garisan rugi. Yang paling penting, anda tidak boleh memikirkan keuntungan semata-mata.
Kejayaan sesebuah restoran juga bergantung kepada promosi. Lebih banyak anda berbelanja untuk promosi, lebih stabil perniagaan restoran pada masa akan datang terutamanya pada 6 bulan pertama. Anda mesti tidak berputus asa dalam mempromosikan kedai makan anda. Pelbagai cara boleh digunakan untuk mempromosikan kedai makan anda. Antaranya adalah, mempromosikan di laman sesawang, promosi secara iklan dengan memberikan ‘flyer’, mempamerkan iklan di surat khabar, majalah dan sebagainya. Namun, anda juga perlu berhati-hati agar tidak boleh terlalu asyik mengiklankan perniagaan sehingga kos yang digunakan melebihi bajet yang ditetapkan.
5) Kawalan
Pengurus membuat pemeriksaan dan penyeliaan yang berterusan tentang perlaksanaan perancangan dan memastikan tindakan yang diambil tepat.
1.2.4 Tips dan Strategi Pengurusan Kedai Makan
(1) Waktu perkhidmatan jelas dipaparkan
Adakah anda akan buka perniagaan anda setiap hari? Jika ya, perniagaan anda akan dibuka dari pukul berapa sampai pukul berapa? Kemudian, apa pula agaknya menu yang anda sediakan kepada para pelanggan anda?
Sebagai pelanggan, ada beberapa perkara yang akan buatkan mereka rasa kecewa dengan sesebuah kedai makan atau restoran. Pertama, tidak mengetahui sama ada kedai itu buka atau tidak. Apabila pelanggan telah ‘set’ dalam jadual ingin makan di kedai anda, tetapi apabila mereka datang, kedai anda tidak buka pula. Keadaan ini pasti sangat mengecewakan pelanggan apabila terjadi.
Kemudian adalah berkenaan dengan menu pula. Apakah jenis makanan yang disediakan oleh kedai makan anda? Berapakah harga makanan yang tersebut? Pelanggan pasti akan tertanya-tanya sekiranya anda langsung tidak menyediakan menu makanan atau menu makanan yang kurang jelas. Selain itu, akan menjadi agak sukar untuk pelanggan memesan makanan.
(2) Servis yang laju
Servis yang laju kebiasaannya cuma dialami jika makan di kedai mamak. Pelanggan pastinya selalu impikan situasi seperti ini apabila makan di mana-mana kedai makan. Contohnya
1. Apabila pelanggan datang, ada orang yang akan menunjukkan tempat duduk yang selesa untuk mereka.
2. Selepas duduk, pelayan terus memberikan menu dan bersedia untuk mengambil pesanan.
3. Dalam masa sekurang-kurangnya lima minit, minuman sampai.
4. Kemudian, dalam masa lebih kurang 10 minit selepas minuman sampai, makanan pula sampai. Bermakna, dari masa pelayan mengambil pesanan, sehinggalah makanan sampai ke meja, ia mengambil masa lebih kurang 20 minit sahaja.
5. Kemudian akan ada pelayan yang membuat semakan sama ada kesemua makanan yang dipesan telah pun sampai. Hal ini malangnya memang jarang dilakukan di bisnes di kedai makan. Pelanggan akan merasa kecewa sekiranya ada pesanan yang tercicir dan mereka sendiri yang perlu ingatkan semula. Apatah lagi apabila mereka datang bersama ahli keluarga atau teman dan hanya dapat mula makan selepas yang lain telah habis makan.
6. Sambil membuat semakan, pelayan yang sama boleh bertanya, sama ada pelanggan ingin tambah apa-apa pesanan atau tidak. Contohnya, pencuci mulut. Sesetengah kedai ada jual ais krim, buah-buahan potong, cendol, ABC dan sebagainya. Semua ni lebih sesuai untuk order waktu dah hampir habis makan.
(3) Kebersihan
Faktor kebersihan ini sudah tentu menjadi faktor yang sangat penting dalam mana-mana bisnes kedai makan. Kebersihan premis perniagaan, kebersihan lantai, meja makan, kerusi, pinggan mangkuk yang digunakan termasuklah juga sudu dan garfu.
Terdapat kedai makan yang masih lagi menyimpan sudu dan garfu yang telah bengkok dan dah berubah warna seperti warna terbakar dan karat. Semestinya, kedai makan tersebut perlu menukarnya.
(4) Kualiti makanan
Makanan kalau sedap, pelanggan pasti akan datang lagi. Malahan, pelanggan tidak sabar-sabar mahu datang lagi di lain masa. Makanan sedap itu satu perkara. Namun satu perkara lagi yang kerap terjadi ialah, rasa makanan yang langsung tidak konsisten.
Aspek makanan sedap ini memang subjektif dan ia berbeza-beza mengikut selera masing-masing. Tetapi, kami berpendapat, selain makanan itu perlu sedap, rasanya juga perlu konsisten. Rasa makanan sama setiap masa, walaupun si tukang masak adalah orang yang berlainan.
Salah satu perniagaan kedai makan yang begitu konsisten dari segi rasanya ialah restoran ‘Fast Food Mc Donald’. Tidak kira walau di negeri mana kita pergi, rasanya tetap sama.
(5) Kemudahan tambahan yang disediakan
Lagi banyak kemudahan yang mampu disediakan, itu lebih baik. Namun, jika tidak dapat sediakan semua, janganlah langsung tidak ada kemudahan. Di bawah adalah antara contoh-contoh kemudahan yang mungkin pihak peniaga dapat sediakan. Antaranya:
1. WIFI
Ini adalah untuk menarik golongan muda untuk datang ke kedai makan anda. Apabila terdapat wifi percuma, kedai makan kita akan jadi salah satu tempat makan yang dijadikan pilihan. Walaubagaimanapun, pastikan kedai makan anda mempunyai banyak tempat makan.
2. Astro
Ini untuk memudahkan orang ramai untuk menonton siaran sukan atau apa-apa siaran menarik yang tidak ditayangkan di siaran televisyen biasa.
3. Tandas
Sebolehnya sediakan dua tandas atau lebih. Jadi, pelanggan tidak perlu beratur panjang.
4. Surau atau ruang solat
Ruang solat ni sangat perlu terutama sekali apabila bulan Ramadhan. Akan menjadi mudah untuk pelanggan berbuka puasa di kedai makan kita. Ataupun, sewaktu makan malam. Adalah sedia maklum, waktu maghrib adalah singkat. Jadi, sekiranya kita menyediakan ruang solat, maka pelanggan yang masih belum solat boleh terus solat di ruang solat yang disediakan.
5. Kerusi untuk kanak-kanak
Ini adalah untuk pastikan kanak-kanak dapat duduk diam. Sesetengah kedai makan memang tidak menyediakannya. Sekiranya mampu, sediakan ruang bermain untuk kanak-kanak, seperti gelongsor, jongkat-jongket dan sebagainya.
6. Sistem tempahan
Wujudkan sistem tempahan menerusi telefon, SMS atau whatsapp. Sekiranya pelanggan ingin ‘take away’, mereka boleh membuat tempahan terlebih dahulu dan apabila mereka sampai ke restoran, hanya tinggal ambil makanan tersebut tanpa perlu menuggu lama.
(7) Sistem pembayaran
Tidak dinafikan bahawa pelanggan lebih suka sekiranya sistem pembayaran boleh dilakukan dari tempat duduk. Setelah sedia untuk membuat pembayaran, pelanggan hanya perlu meminta bil dan terus membuat bayaran dari tempat duduk. Sekiranya ada baki, mereka hanya perlu tunggu di situ sahaja sementara menuggu pelayan memulangkan baki. Jadi, pelanggan tidak perlu bersusah payah beratur di kaunter.
Sekiranya tidak mampu berbuat demikian, terutamanya bagi kedai makan yang baru dibuka, pastikan pekerja di bahagian ‘cashier’ adalah efisien. Sebaiknya telah terdapat resit pelanggan di kaunter agar pelanggan tidak perlu memberitahu semula makanan yang dimakan.
ØTips rezeki dalam berniaga
1. Dalam mengejar keuntungan, jangan lupa kerugian juga tetap menanti di depan mata. Rezeki Allah swt telah ditentukan. Tetapi kita masih perlu berusaha.
2. Berniagalah dengan amanah dan jangan sekali-kali cuba menipu dalam sukatan dan timbangan, barulah perniagaan itu kekal dan berkat.
3. Perniagaan mendidik diri kita agar menjadi insan yang sabar, redha, tabah, jujur dan cekal. Dari sini, kita akan lebih bersyukur dengan rezeki dan nikmat yang dilimpahkan.
4. Rasuah merupakan salah satu dosa besar dalam Islam. Ia kerap berlaku dalam pelbagai bidang termasuklah dalam perniagaan. Jauhkan dari dosa besar ini.
5. Sentiasa senyum pada pelanggan. Senyum umpama magnet rezeki untuk peniaga.
6. Pastikan tempat berniaga sentiasa bersih. Sekiranya berniaga dari rumah pun sama juga, pastikan meja dan bilik sentiasa kemas dan teratur.
7. Jangan sombong dalam mencari ilmu berniaga. Hormati ilmu tak kira tahap mana pun perniagaan kita.
1.2.5 Peranan Konsep Tauhid Dalam Pengurusan Kedai Makan
ØPengertian Tauhid
Tauhid merupakan paksi kepada islam. Setiap peraturan, amalan, peribadatan dan undang-undang dalam islam adalah berteraskan kepada tauhid. Semangat tauhid dapat membebaskan umat Islam serta mencorak akal budi mereka dari kepercayaan khurafat, minda yang jumud, sikap yang tidak rasional serta perbuatan yang tidak bertamadun.
ØKonsep Tauhid Dalam Pengurusan Kedai Makan
Apabila semangat tauhid dapat dijiwai oleh individu muslim sepenuhnya, maka ia akan memberi kesan yang mendalam kepada individu tersebut. Semangat tauhid akan mempengaruhi kehidupan seharian individu yang dapat menguasai ilmu tauhid khususnya dari segi minda, sikap serta perlakuannya. Secara khususnya, penghayatan konsep tauhid dapat memberi kesan yang positif dalam bidang pengurusan dan pentadbiran.Antara kesan implikasi tauhid dalam pengurusan serta pentadbiran islam adalah seperti berikut :-
1. Menjana insan yang mempunyai rasa rendah diri serta bersikap tawaduk.Ia tidak mempunyai walau sedikit rasa bongkak serta angkuh walaupun mempunyai kuasa dalam sesebuah organisasi. Sikap pengurus atau pekerja seperti ini dapat membentuk budaya kerja yang mengutamakan sikap hormat menghormati, tolong menolong dan prihatin antara satu sama lain. Ini adalah amat penting agar pengurusan kedai makan berjalan lancar kerana para pekerja yang mempunyai hubungan silaturrahim yang kuat.
2. Membina seorang insan yang mempunyai tahap kesabaran, keazaman serta kesungguhan yang tinggi. Apabila sikap seperti ini ada di dalam diri seorang pekerja atau pengurus, mereka pasti akan melakukan pekerjaan berdasarkan prinsip-prinsip islam serta mendapat keberkatan dari Allah Swt. Lebih-lebih lagi apabila menjalankan bisnes kedai makan yang memerlukan interaksi dengan pelanggan yang berbagai ragam sepanjang masa. Sebagai contoh, pelayan bersabar dan sentiasa menggunakan bahasa yang sopan walaupun berhadapan dengan pelanggan yang marah dan biadap.
3. Melahirkan insan yang mempunyai harga diri dan keyakinan diri yang tinggi. Dalam sesebuah organisasi, individu seperti ini akan berani memperkatakan sesuatu serta membela hak diri sekiranya ditindas walaupun boleh menjejaskan kedudukannya. Walau bagaimanapun, ianya haruslah dilakukan dengan penuh hikmah agar tidak memburukkan keadaan. Sebagai contoh, pekerja di kedai makan berani menegur dengan sebaiknya pengurus yang menggunakan bahan mentah yang tidak segar untuk dihidangkan kepada pelanggan.
4. Menjadikan individu muslim agar bersikap terbuka, tidak jumud dan sempit pemikirannya. Dari sudut pengurusan, dia akan menjadi seorang pekerja yang beramanah, cekap dan berdisiplin.Dia akan dapat melihat organisasi sebagai satu unit kecil daripada sistem alam semesta yang tujuan akhirnya adalah untuk mendapat rahmat serta redha dari Allah Swt. Sebagai contoh, para pekerja kedai makan sentiasa datang awal ke tempat kerja dan tidak membuat pekerjaan secara sambil lewa.
5. Mewujudkan sikap aman,redha dan menghakis sifat dengki, tamak haloba dan iri hati. Sikap yang seperti ini dapat menghalang manusia dalam melakukan perkara-perkara yang buruk dan zalim hanya untuk mencapai kejayaan dan matlamat dengan cara yang salah .Sebagai contoh ialah pengambilan rasuah, penyelewengan serta pecah amanah.
1.2.6 Peranan Konsep Al-Istikhlaf Dalam Pengurusan Kedai Makan
Pengertian Al – Istikhlaf
Istikhlaf ialah suatu istilah yang bermakna ketetapan manusia yang ditugaskan dan diwakilkan oleh Allah SWT untuk membangun dan memakmurkan dunia. Penugasan ini dikuatkuasakan Allah dengan mengangkat manusia sebagai wakil-Nya (khalifah) dan pemegang amanahNya untuk mentadbir dan memajukan kehidupan dunia. Dalam erti kata lain istikhlaf merupakan satu prinsip dengan jelas dan tegas menzahirkan penugasan Ilahi ke atas manusia iaitu untuk menjadi pengurus dunia.
1. Melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah.
Manusia dipilih oleh Allah untuk diberi kepercayaan dibandingkan dengan makhluk-makhluk lain iaitu untuk memikul tugas membangun dan memakmurkan dunia dan menjaga semua kurniaan Allah SWT dalam keadaan yang baik. Oleh itu, dengan kewajipan ini, manusia sebagai khalifah haruslah menghindarkan diri daripada aktiviti yang mendatangkan kerosakan kepada diri dan orang lain, kerosakan kepada alam sekitar, pembaziran dan pemborosan, pengabaian terhadap sumber-sumber manusia dan asli dan lain-lain aktiviti yang seumpamanya.
Dalam perniagaan kedai makan kita dilarang untuk melakukan aktiviti yang mendatangkan kerosakan kepada diri dan orang lain seperti tidak menjaga kebersihan di dalam kedai makan yang boleh mengakibatkan makanan dijangkiti kuman dan menggunakan bahan masakan berulang-ulang kali sehingga boleh memudaratkan kesihatan pelaggan .Perkara ini akan merosakkan kesihatan mental dan fizikal para pelanggan dan juga kita sendiri.
Selain itu, mengikut konsep al-istikhlaf, kita juga tidak boleh merosakkan alam sekitar dalam aktiviti perniagaan kedai makan kita. Pengurus haruslah bijak dalam membahagikan kerja-kerja kepada pekerja dalam kerja-kerja pembuangan sampah supaya sampah-sampah seperti sisa makanan tidak dibuang merata-rata seperti di dalam longkang, di dalam sungai atau di tepi-tepi kedai makan. Ini adalah kerana ia akan menyebabkan alam sekitar akan terjejas .
Di samping itu, kita perlu hindarkan perniagaan kita dari pembaziran dan pemborosan seperti membeli bahan mentah melebihi permintaan dan mengubah suai kedai makan secara melampau . Perkara ini akan menyebabkan kos perniagaan akan terjejas dan bukan sahaja akan mengakibatkan pembaziran malahan kerugian kepada perniagaan kedai makan tersebut.
Kesimpulannya, kita haruslah menjaga kurniaan Allah SWT sebagai khalifah di muka bumi ini dan bukannya mendatangkan kerosakan kepadanya. Dan kita patutlah menerapkan konsep al- istikhlaf dalam perniagaan kedai makan supaya perniagaan kita diredhai oleh Allah SWT.
2. Memakmurkan bumi
Sebagai umat Islam, kita mesti berusaha untuk melakukan kebaikan, menambah pengeluaran, mempertingkatkan khidmat bakti kepada masyarakat, membangun dan mengalakkan pertumbuhan.
Oleh itu, dalam menguruskan kedai makan , pengurus perlulah mengurus berdasarkan paradigm tauhid yang menekankan keseimbangan dan kesepaduan antara tuntutan keduniaan dan akhirat iaitu dalam berniaga kita juga perlu menjaga hubungan dengan Allah dengan melakukan segala perintahNya. Dalam berniaga juga kita haruslah tidak lupa untuk membahagikan keuntungan perniagaan kedai makan kita kepada fakir-fakir miskin, anak-anak yatim dan orang yang tidak berkemampuan dengan memberikan sedekah kepada mereka supaya perniagaan kita lebih diredhaiNya.
Perniagaan kedai makan juga haruslah berlandaskan wahyu iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Pekerjaan yang dilakukan juga haruslah dengan niat yang ikhlas dan menjadikan bekerja sebagai ibadah dengan segala implikasinya supaya kita dapat membina peribadi dan akhlak insan di dalam kalangan umat Islam. Akhir sekali, segala keputusan yang akan dilakukan di dalam perniagaan kedai makan haruslah terikat dengan hukum hakam agama bagi mengelakkan perniagaan kita menjadi perniagaan yang tidak berlandaskan syariah Islam dan dimungkari oleh Allah SWT.
1.3 Kesimpulan
Kesimpulannya, menguruskan sebuah perniagaan memerlukan pelbagai persediaan daripada aspek kewangan, fizikal mahupun mental. Sebagai seorang muslim, adalah wajib bagi kita untuk menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai panduan hidup termasuk dalam pengurusan supaya kita sentiasa berada di jalan yang benar iaitu jalan yang diredhai oleh Allah SWT.
Selain itu, sesebuah pengurusan bukan sahaja perlu ditekankan pada peringkat awal atau peringkat kemuncak sahaja tetapi mesti sentiasa dipantau dan dikawal dari semasa ke semasa.
Di samping itu, konsep tauhid merupakan sebuah konsep yang sangat penting dan haruslah di guna kepada semua golongan masyarakat bukan sahaja dari konsep pentadbiran dan pengurusan. Sebarang usaha untuk menerapkan nilai-nilai islam dalam pengurusan serta pentadbiran haruslah berteraskan kepada konsep tauhid. Seandainya semangat tauhid ini dijiwai dan dipraktikkan oleh individu islam dengan sebenar benarnya, maka mereka telah menjalankan dua jenis perhubungan iaitu hubungan dengan Allah Swt serta hubungan sesama manusia.
Seterusnya, konsep al-istikhlaf iaitu manusia sebagai khalifah di muka haruslah menjaga kurniaan Allah SWT seperti alam sekitar, sumber-sumber manusia dan asli.
Akhir sekali, kita semestinya harus berusaha tanpa putus asa dalam mencapai impian. Bab kata pepatah kejayaan tidak datang bergolek. Namun, kita juga mesti mempercayai bahawa setiap perkara yang terjadi sama ada baik atau buruk adalah atas izin Allah SWT dan tidak lupa untuk berdoa kepada-Nya di samping usaha. Terdapat pelbagai doa yang boleh diamalkan dalam kehidupan demi kejayaan dunia dan akhirat.
1.4 Rujukan
1) Laman Sesawang
2) Buku
ØBuku rujukan Pengurusan Dalam Islam PTSB
No comments:
Post a Comment